AKU BELAJAR TENTANG MELAYU

Posted: 27 April 2011 in SIASAH

Awas, entri ini merbahaya. ia mungkin mengundang tekanan darah tinggi dan serangan jantung, akibat rasa Marah yang keterlaluan. Sila dapatkan nasihat Dr. Sabar sebelum membacanya.

——————————————————————————————————————————————————-

Pagi ini aku terserempak dengan mereka lagi. Aku tidak berapa kenal sebenarnya, cuma yang  ku tahu mereka  kata mereka itu orang melayu, pejuang bangsa, gelar mereka. Aku tanyakan pada mereka, “Apa yang kamu perjuangkan?’ Kami berjuang mempertahankan ketuanan melayu dan hak istimewa orang melayu,” mereka menjawab dengan penuh bangga.

Lalu aku bertanya lagi pada mereka,” Ketuanan melayu itu siapa?, hak istimewa orang melayu itu apa pula?” Asing benar rasanya perkataan itu pada ku, setahu aku istilah ketuanan itu tak pernah pula aku pelajari dalam sejarah bangsaku disekolah dulu.tentang perkataan hak istimewa orang melayu itu ada aku baca dalam perlembagaan negara rasanya tetapi aku masih ragu-ragu samaada hak istimewa atau kedudukan istimewa.

Membulat jengil mata mereka memandangku.” Hak istimewa orang melayu itulah maruah dan nyawa bangsa kita, yang akan menentukan survival bangsa melayu. Tanpanya melayu akan mati dan hilang didunia.” lantang mereka menegaskan padaku.

“ooo rupanya hak istimewa orang melayu itu tuhan yang berkuasa menentukan hidup mati manusia, yang patut kita sembah dan puja” .fikirku dalam hati

Ketuanan melayu itulah lambang kedaulatan orang melayu di bumi ini. Ini tanah asal usul kita. Kita tuan tanah di negara ini.

ooo begitu rupanya. cuma ku hairan mengapa aku tidak mendengar tentang ketuanan Iban di sarawak, Ketuanan Jahai di hulu Perak, atau mungkin Ketuanan Jakun di negeri Johor, ini juga tanah asal mereka.

Sebelum sempat aku bertanya lagi, mereka terus berlalu pergi, kata mereka mahu meneruskan demontrasi dan menghantar memorandum pada pak menteri  tentang seorang pengkhianat bangsa yang mempertikaikan tentang hak keistimewaan orang melayu dan bersengkongkol dengan orang cina.

Pesan mereka padaku, kalau benar -benar orang melayu, wajib menyertai mereka. Orang melayu yang tak mahu mempertahankan hak dan keistemewaan orang melayu adalah pengkhianat bangsa , pencacai dan pembelot. Pesan mereka lagi, berhati-hati dengan jiran bermata sepet,Mereka itu jahat dan tamak. Mereka mahu merampas tanah kita. sekiranya diberikan kuasa mereka akan terus menekan dan memijak kepala. Menghalau kita dari bumi sendiri.

Lalu mereka berlalu pergi, aku cuma memerhati dari jauh, mereka berarak dengan penuh semangat membara, menjerit dan melaungkan slogan hidup melayu di hadapan pejabat  si pengkhianat bangsa itu. Tatkala kelihatan wajah si pengkhianat bangsa itu keluar dari pejabatnya.  maka mengamukklah sekalian rakyat jelata, dengan wajah merah menahan amarah, maka menjerit dan berteriaklah mereka, memaki dan menghamun si pengkhianat bangsa. berhamburlah segala sumpah dan seranahnya buat si pengkhianat bangsa dan sekutunya.

Tiba- tiba aku jadi keliru tentang melayu yang aku belajar sejak dari dulu.beza sekali rasanya.aku kah yang tersalah hitung?

Aku belajar tentang melayu dari kedua ibubapaku. Aku ingat lagi waktu aku masih kecil dulu , saat aku pulang dari rumah sambil menangis selepas kalah ketika aku berekelahi dengan rakan sepermainanku kerana bentuk fizikalku yang lebih kecil berbanding mereka. Fikirku, aku akan beroleh simpati dan pembelaan dari ayah, khilaf rupanya sangkaku, yang kuterima hanya libasan rotan dipunggungku.

Malam itu,pesan ayah padaku sewaktu menyapu ubat dilukaku ” menjadi melayu, jangan sesekali menyalahkan orang lain atas kelemahan dan kekurangan diri sendiri, baiki kelemahan jadikan ia kekuatan”. biar apapun alasan,sengketa sesama kita bukanlah perkara mulia”.

Aku belajar juga tentang melayu dari sunnah Muhamad S.A.W  teladan agung umat melayu. berlainan bangsa, rupa dan warna kulit hatta agama sekalipun bukan alasan untuk benci- membenci sesama manusia. Hormatilah mereka pada hak dan layaknya kehormatan seorang manusia. Tatkala baginda berdiri menghormati jenazah si yahudi,atau tolerasi baginda pada  jiran si  kafir si pembaling tahi juga prihatin baginda pada si pengemis buta si yahudi.

Aku juga belajar tentang melayu dari tok-tok guru yang mengajar mengeja alif ba dan ta,  berwaspada itu perlu namun berburuk sangka itu dilarang Allah, Tuhan sekalian manusia.

Aku juga belajar melayu dari Tuk kenali juga Hamka, melayu ini tingkahnya penuh santun dan hikmah, akalnya panjang, fikirnya tajam. diam-diam ubi berisi. Dalam senyap mengatur strategi, jauh sekali menjadi babi , membuta tuli

Aku juga belajar tentang melayu dari Abd Rahman Limbong dan Penghulu Naning, melayu ini optimis, selalu yakin pada kemampuan bangsanya , tak perlu mengharap pada yang lain kecuali Redha Tuhannya. Selalu berani, tak perlu takut pada bayang-bayang sendiri. musuh terbesar yang perlu dilawan adalah ketidakpercayaan pada diri sendiri.

Aku juga belajar tentang melayu dari iktibar kisah Hang Tuah dan Hang Jebat oleh penglipurlara.Berbeza sudut pandang dan pendapat bukan alasan untuk berkelahi dan bersengketa sesama kita apatah lagi memurtadkan melayu sesiapa atau mempengkhianat sesama kita. Tak salah jebat dan tuah bila berbeza pandang. hatta yang dibezakan adalah tentang kedaulatan seorang sultan sekalipun. Salahnya Jebat juga  Tuah bila tak pernah tahu bagaimana meraikan perbezaan itu. maka titiplah iktibar dari kisah. kutiplah teladan dari bencana.

——————————————————————————————————————————————————

padaku, tak salah  berjuang mempertahankan bangsa, namun sebelum itu berjuanglah mempertahankan nilai melayu yang ada dalam diri kamu. Janji  Tuah” takkan melayu hilang didunia”, soalnya apakah melayu yang tinggal benar-BENAR melayu. Usah biarkan perjuangan bangsa terperangkap dalam permainan catur politik licik atau terpenjara  dalam kandang taksub kepartian yang melampau.

gelarlah apa sahaja padaku, melayu liberal, pengkhianat bangsa atau apa sahaja, kerna aku tahu letak duduknya melayu dalam jiwaku.

Komen-komen
  1. di Malaysia ni, sangat ramai orang Melayu yg mengaku perjuangkan bangsa Melayu..tetapi hakikatnya mereka sendiri kurang mengerti tentang Melayu..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s