Pengurusan Sumber Air di Malaysia,Realiti,Cabaran Dan Harapan

Posted: 2 Mei 2011 in HIJAU BUMI TUHAN

Selama berpuluhan tahun  Malaysia dilimpahi dengan kekayaan sumber air yang tidak terhingga. Di saat negara-negara di benua afrika berdepan dengan kekurangan air yang cukup serius ,rakyat Malaysia hidup dalam keadaan yang cukup selesa menikmati kurniaan tuhan tidak ternilai harganya ini,sehinggalah  krisis air 1998 melanda, apabila isi padu air dibeberapa buah  empangan terbesar negara menyusut pada tahap terendah disebabkan cuaca panas dan kemarau bahana el nino ketika itu[i]. Maka berduyun-duyunlah rakyat Malaysia beratur setiap hari menanti lori air menjelma dengan tong-tong air penuh ditangan,maka ramailah jua  pihak yang melatah, tidak mungkin bagi negara yang terletak dalam garisan khatulistiwa, menerima purata hujan tahunan antara 2500mm hingga 3000mm[ii] .mempunyai lebih daripada 150 buah lembagan sungai[iii] boleh terjerumus ke kancah kekurangan air. Maka lebih ramai lagi yang menunding jari menyalahkan antara satu sama lain.kredibiliti pengurusan air di Malaysia mula untuk dipersoalkan, orang yang selama ini Cuma mengerti untuk dapatkan air pulaslah kepala paip di rumah maka keluarlah mencurah air mula tertanya-tanya  bagaimanakah air diuruskan. Dari pak menteri sehinggalah pak mat peniaga kedai makan tercari-cari siapakah yang menguruskan sumber air di negara kita.

Sumber Air Negara

 “Sumber alam yang ada di dunia ini cukup untuk memenuhi keperluan semua manusia yang ada tetapi tidak cukup untuk memenuhi ketamakan seorang manusia”

 Menurut kajian sumber air negara 1982,setiap tahun musim monsun menepukan landskap negara  dengan lebih 990 billion padu meterpadu (m3) air hujan. Daripada   jumlah tersebut 57% wujud sebagai larian permukaan iaitu sebanyak 566 billion m3,36 % atau  360 billion m3 dikembalikan ke atmosfera oleh penyejatan dan traspirasi manakala yang selebihnya  6.5% atau 64 million m3 kekal dalam bentuk air bawah tanah[iv]. Memandangkan air yang dikitar semula ke atmosfera tidak digunakan maka, hanya larian permukaan dan air bawah tanah yang menyumbang kepada bekalan air negara iaitu sebanyak 630 billion m3, walaupun begitu bukan semua air ini boleh digunakn untuk keperluan air negara. Hanya 10%  ( 56 billion m3) daripada 566 billion m3 larian permukaan boleh disalurkan di ke kawasan simpanan atau  di gunakan terus.jika ditambah jumlah ini dengan jumlah air bawah tanah bermakna sumber air yang boleh diperbaharui ialah 120 billion m3 air setahun[v]

Penggunaaan Air Di Malaysia

Pada tahun 1980, rakyat Malaysia menggunakan sehingga 8.70 billion m3 air untuk kegunaan pengairan , industri dan domestik, angka ini meningkat kepada 11.6 billiom m3 pada tahun 1990, pada tahun 1995 jumlah air yang digunakan oleh rakyat Malaysia ialah 13.5 billion meter padu .daripada jumlah ini 72%  digunakan untuk mengairi kawasan pertanian terutamanya kawasan pertanian padi melalui skim pengairan  tanah sawah oleh lembaga kemajuan tanah sepeti MADA,KEDA, KEMUBU dan sebagainya. Manakala15% digunakan untuk keperluan industri manakala 13% lagi digunakan untuk keperluan domestik.[vi]Secara puratanya rakyat Malaysia menggunakan kira-kira Malaysia menggunakan kira-kira 310 liter air sehari . Jumlah ini melebihi 146 liter berbanding piawaian yang ditetapkan oleh pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB) iaitu sebanyak 165 liter sehari.[vii]Permintaan terhadap penggunaan air di Malaysia semakin bertambah dari  tahun ke tahun  seiring peningkatan populasi penduduk Malaysia serta kepesatan pembangunan industri negara. dalam sektor industri dan domestik permintaan terhadap sumber air negara meningkat dua kali ganda daripada 1980-an kepada 1990-an.[viii]

Dari Puncak Bukit Ke Kepala Paip

Apabila terjadinya krisis air negara pada 1998, rakyat yang selama ini sudah terlalu selesa menggunakan sumber air negara tiba-tiba tersentak, masing masing mula mempersoalkan mengapa perkara ini terjadi, persoalan yang tidak pernah mahu diambil tahu sebelum ini tiba-tiba meniti dibibir setiap penduduk yang berbaris menanti loria air akan sampai. Siapakah yang bertanggungjawab menguruskan air negara?bagaimanakah sumber air negara diuruskan dari puncak bukit sehinggalah ke kepala paip? Air hujan yang turun akan mengalir ke dalam sungai, tasik ,, paya dan lain-lain lagi. air dari sungai ini pula akan ditakung di sebuah kawasan takungan buatan atau empangan. menurut statistik yang dikeluarkan jabatan bekalan air, kementerian tenaga , air dan teknologi hijau. Terdapat 53 buah empangan yang beroperasi untuk bekalan air di seluruh negara,

Kategori

2007

2008

Empangan untuk bekalan air sahaja

42

42

Empangan BekalanAir & Pengairan

8

8

Empangan BekalanAir & KawalanBanjir

5

5

Empangan Pengairan, KawalanBanjir& Bekalan Air

2

2

JumlahEmpangan(Dam)

57

57

Daripada empangan , air akan disalurkan pula ke loji-loji rawatan air untuk dirawat sebelum disalurkan ke sistem agihan air yang akan mengagihkan air kekawasn kediaman, industri dan sebagainya.

Pengurusan Air

 Seperti kebanyakkan isu alam sekitar di Malaysia, pengurusan air dimalaysia tidak mempunyai sistem yang seragam antara satu negeri dengan negeri yang lain malahan juga sistem pengurusan air dimalaysia lebih kompleks disebabkan wujudnya dasar penswastaan serta penglibatan begitu ramai “stake holder dalam isu pengurusan air di Malaysia. Di Malaysia, secara umumnya bidang kuasa air terletak dalam bidang kuasa negeri, setiap negeri mempunyai pengurusan air yang tersendiri.    Dalam satu sidang khas Parlimen pada pertengahan 2005, Parlimen Malaysia meluluskan pindaan bagi Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memindahkan perkara-perkara berkaitan dengan bekalan dan perkhidmatan air daripada Senarai Negeri kepada Senarai Bersama (kecuali Sabah dan Sarawak). Pindaan diwartakan pada 10 Februari 2005 dan ia dikuatkuasakan pada 21 Mac 2005.Dengan pindaan itu, Kerajaan Persekutuan akan mengawal selia industri perkhidmatan air dari segi pelesenan dan kawal selia operator perkhidmatan. Kerajaan Negeri mengekalkan kuasanya terhadap sumber air, kawasan tadahan air dan lembangan sungai.Pada Pertengahan 2006, Parlimen Malaysia meluluskan dua undang-undang yang mengubah cara Malaysia menguruskan perkhidmatan air iaitu Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara iaitu Akta 654 atau Akta SPAN dan Akta Industri Perkhidmatan Air iaitu Akta 655. Akta 654 menggariskan peranan, fungsi dan bidang tugas SPAN manakala Akta 655 memperuntukkan kawal selia meliputi ekonomi, teknikal dan sosial serta perlindungan hak pengguna. [ix]Selain daripada itu sistem bekalan air di Malaysia turut melibatkan pelbagai jabatan .sistem tadahan air  dan punca air diletakan di bawah pengurusan kerajaan negeri yang turut melibatkan jabatan perhutanan serta  hutan simpan kerana kebanyakan kawasan tadahan air berada dalam kawasan hutan simpan setelah air mengalir ke empangan ini diuruskan pula oleh agensi yang berbeza bergantung pada jenis empangan.Empangan untuk Penebatan banjir dan pengairan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), apabila ke loji rawatan air pula, air akan diuruskan oleh lembaga air negeri,atau jabatan kerja raya atau syarikat air yang dilantik oleh kerajaan negeri dan apabila air mengalir kepaip ia akan berada di dalam industri perkhidmatan air negara di bawah kelolaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara SPAN, turut terlibat secara langsung dalam sistem pengurusan air negara ialah Jabatan Alam Sekitar yang mengawal  kualiti air sungai ,Kualiti air minuman pula dikawal di bawah Kementerian Kesihatan.

 

PENCEMARAN AIR DI MALAYSIA

Pencemaran sungai di Malaysia  bukanlah satu perkara baru dalam senario isu alam sekitar dimalaysia, selama bertahun-tahun kita bergelumang dengan isu yang semakin klise dan menghampakan kita semua. Keghairahan Malaysia mengejar pembangunan dan tingkat ekonomi negara maju sehingga kita mengorbankan anugerah alam yang tiada ternilai harganya Kualiti air sungai-sungai di Malaysia semakin terancam dengan pencemaran. Pada umumnya, setiap sungai di negaraini dikategorikan kepada lima kelas iaitu;

  1. Kelas 1- airnya boleh terus diminum tanpa rawatan
  2. Kelas 2 – airnya memerlukan rawatan biasa
  3. Kelas 3 – air nampak bersih, tidak berbau, tetapi kualitinya tercemar dan orang ramai tidak boleh berenang tetapi boleh berkelah di tebing
  4. Kelas 4 – tercemar
  5. Kelas 5 – hampir mati*

*Bagi Kelas 4 dan 5, keadaan air antara lain berbau busuk dan berwarna hitam.

Senario semasa di Malaysia menunjukkan, bilangan sungai yang berada dalam kategori Kelas 1 dan Kelas 2 semakin berkurangan tetapi yang dikategorikan dalam Kelas 4 dan Kelas 5 semakin meningkat. Perkembangan ini memang dijangka selaras dengan pembangunan pesat yang dialami oleh negara selain mentaliti masyarakat yang masih rendah dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar. Pada tahun 1976, analisis awal data kualiti air sungai menunjukkan terdapat 42 batang sungai yang teruk tercemar, 16 sederhana tercemar sementara 7 lagi berpotensi untuk tercemar. Antara sungai yang teruk tercemar ialah Sungai Kelang, Sungai Juru,Sungai Skudai dan Sungai Melaka.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 1997 dan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bilangan sungai yang dikategorikan sebagai ‘bersih’ telah berkurangan sebanyak 43 peratus dari tahun 1996 ke 1997. Dalam tempoh yang sama, bilangan sungai yang tercemar pula telah bertambah sebanyak hampir sekali ganda daripada 13 batangpada 1996 kepada 25 batang pada 1997.Rentetan daripada itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah memperuntukkan bajet berjumlah RM250 juta untuk membiayai projek pembersihan dan pengindahan sungai dalam Rancangan Malaysia Ke-8. Sebagai contoh, di Selangor sahaja, daripada 26 sungai utama yang menjadi sumber air kepada penduduk Lembah Klang, hanya lapan sahaja yang dikategorikan bersih manakala tujuh buah sungai dikategorikan mati dan selebihnya dikelaskan sederhana tercemar.

Pada tahun 2007 pula, Sebanyak 16 batang sungai di negara ini dikategorikan sebagai tercemar dan ‘hampir mati’. Lokasi kebanyakan sungai tersebut sungai tersebut berada di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Kos bagi memulihkan setiap batang sungai tersebut dianggar memerlukan kos antara RM100 juta hingga RM400juta bergantung kepada panjang sungai tersebut, bentuk pencemarannya dan aspek pemulihan yang hendak dijalankan (Utusan Malaysia, 4 Februari 2007) .[x]

Kualiti Air Sungai Di Malaysia

Kategori

1989

1995

1996

1997

1998

1999

2000

2001

2002

Amat Tercemar

3

14

13

25

16

13

12

13

14

Sedikit Tercemar

34

53

61

67

71

72

74

47

43

Bersih

49

48

42

24

33

35

34

60

63

Jumlah

86

115

116

116

120

120

120

120

120

Sumber JAS 1998;Jabatan Perangkaan / Prof Sham Sani (Ed) 1998; JAS 2003

Dasar air kebangsaan

Industri perkhidmatan air negara sudah pun bermula seawal kedatangan british ketanah Melayu, apabila british memulakan sistem perpaipan dari empangan ayer hitam ke bandar di Pulau Pinang ketika itu, seiring dengan itu industri air negara berkembang pesat sehingga kini.memandangkan permintaan air semakin meningkat , tekanan pembangunan yang berterusan s, konflik corak penggunaan dan kemerosotan kualiti air ,pengurusan sumber air negara memerlukan perubahan yang besar . Walaupun sudah sekian lama kita menggunakan sumber ini tanpa sebarang perancangan yang rapi serta tersusun masih belum ada sebarang dasar air yang khusus  seperti mana dasar –dasar negara yang lain seperti dasar kepelbagaian biologi kebangsaan 2005 atau dasar kebudayaaan nasional dalam memastikan pengurusan airyang lebih efisien.

 Kesedaran Awam Dan Kehendak Politik( political will), Satu Kesimpulan

Perdebatan tentang isu pengurusan air,kerenah birokrasi yang membelenggu, percanggahan bidang kuasa antara badan kerajaan, sikap masyarakat yang mencemarkan sungai , krisis air dan penyebabnya seakan-akan sudah lali ditelinga kita. Isu ini seakan –akan tidak akan menemui jalan penyelesaian, selagi mana tidak wujud kesedaran masyarakat tentang betapa bernilainya sumber air yang kita miliki dan betapa ia mampu untuk hilang dalam sekelip mata lantaran kedangkalan dan kesombongon manusia dan selagi mana kehendak dan kesungguhan setiap daripada kita untuk megangkat pengurusan air yang lebih lestari tidak ada , percayala  h kita akan merasai kemelut krisis air yang tiada belas kasihanya.

RUJUKAN


[i] Haliza Abdul Rahman, Suatu Tinjauan Terhadap Isu Pencemaran Sungai Di Malaysia, 8-9 September 2007, dibentangkan di Persidangan Geografi 2007, anjuran UPSI.

[ii] Haliza Abdul Rahman, Suatu Tinjauan Terhadap Isu Pencemaran Sungai Di Malaysia, 8-9 September 2007, dibentangkan di Persidangan Geografi 2007, anjuran UPSI.

[iii] Krisis alam sekitar Malaysia, sahabat alam malaysia

[iv] Krisis alam sekitar Malaysia, sahabat alam malaysia

[v] Krisis alam sekitar Malaysia, sahabat alam malaysia

[vi] Krisis alam sekitar Malaysia, sahabata alam malaysia

[viii] Krisis alam sekitar Malaysia, sahabata alam malaysia

[x] Haliza Abdul Rahman, Suatu Tinjauan Terhadap Isu Pencemaran Sungai Di Malaysia, 8-9 September

2007, dibentangkan di Persidangan Geografi 2007, anjuran UPSI.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s