Korban Cahaya

Posted: 6 Mei 2011 in DI JARI PENA MENARI

Ini kisah korban tentang mereka yang terkorban dek janji-janji mereka yang mengorbankan sempena hari raya korban.

Kisah bermula apabila sebuah badan yang namanya cukup kuat dan bertenaga  bersama – sama dengan pemerintah sebuah Negara bersepakat mahu memberikan cahaya kepada rakyat negaranya. Lalu bersetujulah mereka mahu membina sebuah janakuasa terbesar dinegara ketika itu dihulu sungai sebuah negeri yang menjadi Kampong halaman Suku Semai dan Suku Jahai.

Empangan perlu dibina, lembah perlu ditenggelamkan. Atas nama pemerintah yang punya kuasa maka dipindahkanlah Si Semai dan Sijahai disebuah penempatan baru diberi nama rancangan pengumpulan semula.

Tinggallah kampungku, tanah tempat lahirku, tinggallah tanah nenek moyangku, pusaka warisan, tenggelamlah lembahku, periuk nasi anak isteriku. Berkorban demi memberikan cahaya untuk mereka yang sudah merdeka.

Lalu sungai pun di empang, janakuasa dibina, bergembiralah seluruh Negara,malam sudahpun bercahaya. Rupanya, gembira bukan untuk semua. Masih ada yang dalam gelita. Lilin yang membakar diri untuk menerangi tetapi tak pernah merasai cahaya yang diberi. Biar puluhan tahun menanti, nasib si Jahai dan si Semai masih begini, masih setia pada liuk lintuk api pelita atau kalau nasibya sedikit baik terang dek generator yang seringkali tiada isi.  Ironinya,stesen janakuasa hanya beberapa kilometer dari kawasan penempatannya namun cahayanya terlalu sukar untuk kunjung tiba.seolah-olah jaraknya beribu-ribu tahun cahaya.

Ini kisah realiti,kisah mereka yang berkorban atau terkorban,kisah mereka yang sanggup gelap gelita demi memberikan  kita cahaya.

a

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.