sekitar debat pengguna siswa 2012( versi draft)

Posted: 12 Jun 2012 in KEMBARA SI LUMPUR

Aku sedang belajar, kamu juga sedang belajar,kita sedang sama-sama mereka corak dan bentuknya. Ini cuma tulisan kerdil dari orang “ kecil” dalam dunia yang dipenuhi orang- orang “besar”.

 

Tahniah Dan Terima Kasih

Pertamanya aku berikan tabik hormat juga jutaan apresiasi buat orang-orang kuat disebalik tabir debat pengguna kali atas segala keberanian dan usaha keras dalam mentransformasi arena debat yang dikatakan sedikit mandum dan tepu sejak kebelakangan ini. Sungguh,, ia bukan satu kerja yang mudah tanpa keazaman dan tekad yang jitu. Terima kasih tak terperi untuk jasa yang tidak ternilai ini.

 British Parliamentary Style Atau  Debat Ala Parlimen British

Aku sambut baik kegigihan penganjur memperkenalkan BP style sebagai format perdebatan kali ini. walau apa pun penyebabnya, kita perlu bersetuju bahawa kita memang  perlu sentiasa berani untuk berubah, meneroka dan bereksprimentasi kerana itulah syarat wajib dalam dunia keilmuan hatta itulah jua yang yang selalu kita pesan-pesankan pada anak- anak didik kita. Bahkan dalam bisik-bisik kecil merosotnya mutu –mutu perdebatan dalam pertandingan debat sejak akhir-akhir ini, aku harapkan perubahan ini  mampu menjadi penawarnya, kalaupun bukan, apa salahnya kita mencuba.

Debat Ala Parlimen VS BP Style

Seorang kawan pernah bertanya kepada aku,

“mengapa debat bahasa melayu terlalu menyulitkan dengan segala konsep,teknikal,retorik,kena kayu ukur itu, kayu ukur ini, tidak seperti debat bahasa inggeris yang lebih bersifat “ Free-style”. Bincang sahaja idea tak perlu nak pening-pening”

Maka aku kira segala persoalan tersebut telah pun terjawab dengan pengenalan BP style kali ini. Kalau sebelum ini seringkali format ala parlimen dijadikan escapisme atas kemerosotan mutu perdebatan, maka kali ini ia bukan lagi alasannya, kalau dahulu format ala parlimen yang disifatkan terlalu mengongkong kebebasan mencerna dan membahaskan idea disebabkan terikat dengan formaliti dan teknikaliti debat sehingga menyebabkan perdebatan lebih berkisar tentang  hujah tak selari dengan konsep, yang  kedua bercanggah dengan yang pertama, tak tunjuk ini,  tak tunjuk itu, tak ada sumber  autoritatif( sekadar menyebut beberapa contoh bidasan picisan),  maka kali ini itu bukan lagi pertikaianya.

Dalam BP style kali ini, kita berikan ruang dan peluang yang secukupnya,untuk mengeluarkan idea tanpa perlu terikat dengan sebarang formaliti. Keluarkan idea sekreatif, sekritis atau sekeji manapun, kami tidak  akan hukum ia salah.Tak perlu risau tentang meletakan kayu ukur yang tidak boleh diukur , tidak perlu risau tentang selari atau tidak, bersifat teoritikal atau berdasarkan persepsi, atau tidak boleh dibuktikan secara  kuantitatif. Tidak perlu bermain mudah atau bermain selamat atau mengunci segala lubang atau kuih lompang,yang mahu dilihat hanya tentang matang dan bernaskah idea yang dikemukakan. Mudah bukan. Sebagai pembangkang pula, tak perlu risau tentang meminda definisi atau tidak melawan secara berdepan , nilai dan analisis sahaja pembawaan kerajaan.

Secara teorinya, Debat ala parlimen british ini lebih mementingkan  kepada perdebatan idea, bagaimana  pendebat mengeluarkan  idea, seterusnya mencerna dan mendalami serta menganalisa sedalam-dalamnya setiap idea yang dikeluarkan. Dalam  bahasa mudahnya, kita mengharapkan satu sesi “brainstorming” berlaku dalam 1 jam sesi perdebatan dan bukan lagi satu sesi berucap beramai-ramai.

Berbeza dengan perdebatan ala parlimen sebelum ini, BPs bukan sekadar menguji pemikiran vertikal pendebat, penguasaan logik atau mantik dan juga pemikiran kritikal tetapi turut sama menuntut pemikiran secara lateral dan analitikal pendebat.

 

Kita Budak Baru Belajar, Kalau Salah Sama-Sama Kita Betulkan

Satu perkara yang perlu diakui, BPs perkara baru untuk kita semua, baik untuk pendebat ataupun hakim yang menghakimi dan menjadi perkara biasa apabila kita tidak terus menjadi pandai apabila kita sedang baru belajar. Ini adalah beberapa senario yang sempat aku titip dan kutip sepanjang pengalaman menghakimi pusingan awal debat pengguna kali ini.  Aku akan cuba tuliskanya seringkas mungkin.

Peranan pendebat

Antara cabaran yang paling besar dalam format BP style adalah untuk memahami dan menghayati serta membezakan peranan setiap posisi pendebat. Oleh sebab format ini adalah format yang baru dan garis pemisah antara   peranan bagi setiap posisi pendebat masih samar samar sehingga menyebabkan kecenderungan pendebat untuk melakukan tugas yang serupa, bayangkan sudahlah kita ada pembangkang pembuka dan penutup tetapi apabila keempat empat pendebat pembangkang mengulang membidas perkara yang serupa dengan bidasan yang sama dari awal perdebatan sehingga hujungnya maka yang kita dengar seolah-olah empat orang pendebat ketiga  dalam satu sesi perdebatan.

Jadi untuk mengelakan perkara ini terjadi lain kali, perdebat perlu untuk kembali mengkaji dan bereksprementasi terhadap peranan setiap posisi. Apakah perkara dan strategi terbaik yang perlu dilakukan apabila  berada dalam posisi tersebut, misalnya bila berada sebagai perdana menteri, apakah yang perlu dilakukan bagi memastikan kes akan dapat terus berdiri dan diterima hakim walaupun selepas ini akan dihentam oleh  tiga pasukan yang lain, samaada memberikan pemahaman konseptual dengan cukup terperinci atau mungkin membuka konsep yang sedikit berbeza, kreatif dan segar. Begitu juga dengan posisi-posisi yang lain.

Pertembungan kes

Senario yang biasa berlaku dalam perdebatan, kes tidak bertembung.

Kalau sebelum ini kita biasa mendengar debat seperti  ayam lawan itik bercakap namun dalam BPS ini keadaan akan menjadi lebih parah kerana perdebatan melibatkan empat penjuru, maka kita akan saksikan pertandingan ayam lawan itik bercakap, anjing lawan kucing bertengkar. Mungkin  dek kerana keghairahan untuk mengeluarkan idea masing-masing kerana ini debat idea katanya, maka ada masa perdebat terlupa beza antara debat dan pertandingan berpidato beramai-ramai.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam debat BPS kerana debat BPS yang lebih bersifat Free style serta lebih mementingkan perdebatan idea berbanding  persembahan ( performance seperti kekemasan hujah, fakta, confident dsb) memberikan kelebihan kepada pendebat untuk lebih berani berdebat secara berdepan atau secara kertas kosong tanpa terlalu bergantung kepada skrip hujah yang  sudah disediakan awal-awal sebelum perdebatan.

Giliran pendebat.

Dalam format BPS ini kebanyakan pendebat akan merungut apabila mendapat peranan sebagai kerajaan pembuka dengan anggapan kerajaan pembuka tidak mempunyai kelebihan untuk “back up” semula kes kerana giliran berucap telah tamat, tambahan pula  dalam format ini tidak ada sesi pergulungan ataupun sesi  bidasan , begitu juga dengan pembangkang pembuka. Peluang setiap pasukan akan terhenti sebaik sahaja pendebat kedua berucap kecuali jika bijak mengunakan izin laluan.  Maka hasil dari sembang-sembang dengan rakan pendebat, ada yang mencadangkan kita buat sedikit perubahan dari aspek giliran pendebat. Berbanding giliran yang diguna pakai sekarang , apa salahnya membenarnya kesemua pendebat pertama dari setiap pasukan sama ada kerajaan pembuka, pembangkang pembuka, kerajaan penutup, pembangkang pembuka. Pembangkang penutup, untuk berucap terlebih dahulu, kemudian barulah di ikuti oleh pendebat kedua bagi setiap pasukan.  tiada salahnya untuk mencuba bukan.

Format lama

Kerana ini format baru”, mungkin ini alasan yang paling sesuai untuk masalah ini. Masih terdapat pendebat- pendebat yang masih terbawa-bawa dengan format sebelum ini. Bidasan-bidasan yang terlalu teknikal masih lagi kedengaran, bukan tidak boleh langsung, tapi cuma sesuai suaikan. Ada teknik –teknik yang mungkin sesuai untuk format sebelum ini tetapi tidak sesuai untuk BPS begitu juga sebaliknya.

Bidasan picisan, surface, masalah pemahamamam usul, cara melihat usul, masih lagi berlaku cuma tak perlu rasanya untuk dibincangkan lebih mendalam kerana kita ada cabaran lebih besar  selepas ini.

 Hakim

Jujur aku katakan, kalau pendebat merasakan format BPS ini susah dan payah, maka menghakimi pertandingan berformatkan BPS berganda sukar dan payahnya. Bayangkan , setelah bertahun-tahun terdidik dengan format ala parlimen, untuk belajar semula,serta mengubah mindset yang telah terdidik sekian lama bukanlah suatu perkara yang mudah untuk kesemua hakim.

Kalau sebelum ini perdebatan dua penjuru yang hanya perlu menentukan sama ada usul perlu diterima atau di tolak sudah cukup memeningkan bayangkan pula pertandingan empat penjuru dengan 8 orang yang akan berucap pastinya menuntut tumpuan dan perhatian yang lebih dari hakim. Daripada 4 buah pasukan perlu di tentukan pula rankingnya dari no satu hingga no empat. Itu baru fasa pertama keperitan hakim.

Kalau sebelum setiap hakim sudah ada skema atau “guideline” tersendiri atau dikongsi bersama untuk membuat pertimbangan terhadap pemenang seperti konsistensi pasukan, menjawab tuntutan usul, teknik satu lawan satu dsb tetapi kali ini ada sesetengah guideline ini tidak lagi releven untuk diguna pakai bagi format BPS ini. Dalam pertandingan kali ini kebanyakkan hakim masih tercari-cari apa yang sebenarnya dicari dalam perdebatan berdasarkan BPS.

Masalah mula timbul apabila berlakunya perbezaan keputusan antara hakim, dan konsensus hanya dibuat berdasarkan markah pasukan tanpa perbincangan yang lebih mendalam ( kerana  masing-masing masih belum mengenal pasti kriteria yang dicari) Sedangkan pemberian markah bersifat terlalu subjektif untuk dijadikan cerminan prestasi sebenar pasukan yang bertanding. Sebagai contoh ada yang mengangap 80 sudah terlalu tinggi untuk kategori cemerlang. Ada juga yang memberi 85 atau 87 dan saya percaya setiap hakim ada standart tersendiri dalam pemberian markah.

Maka masih banyak yang sebenarnya yang perlu kita perbaiki untuk membentuk penghakiman debat yang lebih berkualiti sama ada melalui perbincangan, bengkel atau apa sahaja. rasanya sudah ada satu keperluan untuk kita berbincang dan menilai semula tentang “skema” atau “guideline ini” walaupun debat itu suatu seni, setiap orang ada cara dan pandangan tersendiri tetapi  rasanya ada nilai-nilai semesta dan standart umum yang perlu dikongsi bersama semua hakim. Semoga kita akan dapat beri jawapan lain apabila ada junior yang bertanya, “ tadi hakim tu cakap lain, hakim ini pula cakap lain.”

Kita Sedang Sama-Sama Mereka Corak Dan Bentuknya.

Kita sedang menjadi arkitek dan pelukis yang akan menentukan corak dan bentuk debat British parliamentary style versi pertandingan debat IPT Malaysia atau Debat IPT Malaysia versi british parlimenatry style.Yang bijak akan terus mengambil kesempatan untuk mengkaji, memahami, dan bereksperimentasi dengan kelebihan dan kekurangan pada BPS. Menjadi pelopor dan membina penanda arasnya. Namun  itu tidak bermakna kita akan tinggalkan sepi format ala parlimen yang ada. Kerana bagi aku format ala parlimen punya makna yang lebih besar dari nilai sentimentalnya, ia punya nilai linguistic tersendiri yang mengangkat unik dan seninya bahasa melayu yang tidak pernah ada pada bahasa lainnya. Maka teruskan meneroka kedua-duanya kerana ilmu tidak pernah ada titik tepunya.


 

 

Komen-komen
  1. Diyana berkata:

    menarik..disebabkan aku tak pergi menonton hari itu, maka tulisan ini memberi gambaran kepada aku..

  2. […] Catatan Muhamad Allim : Sekitar debat pengguna siswa 2012 Thelisterine.wordpress.com […]

  3. […] Catatan Muhamad Allim : Sekitar debat pengguna siswa 2012 Thelisterine.wordpress.com […]

Tinggalkan komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.